Saturday 30 November 2013

Wanita muda tetapi risiko penyakit jantung yang tinggi!

Anda wanita muda? tahukah bahawa anda juga mungkin berisiko terkena penyakit jantung.

John Hopkins, salah satu pusat penyelidikan terkenal di Amerika Syarikat baru-baru ini telah mengeluarkan statement bahawa "Wanita berumur bawah 60 tahun dan ada penyakit kencing manis atau diabetes adalah berisiko tinggi untuk terkena penyakit jantung". Hasil penyelidikan yang dijalankan di institut tersebut mendapati bahawa wanita muda dan pertengahan umur dengan penyakit diabetes "Type 2" adalah sangat berisiko tinggi kepada penyakit koronari arteri berbanding yang diketahui sebelum ini.

Secara amnya, wanita berumur bawah 60 tahun adalah berisiko rendah untuk penyakit koronari arteri berbanding lelaki di usia yang sama. Namun, jika wanita dalam lingkungan usia tersebut mempunyai penyakit kencing manis, risiko untuk mereka terkena penyakit jantung meningkat sebanyak EMPAT kali ganda! Ini menyebabkan wanita (tidak kira usia) yang mempunyai kencing manis haruslah berjaga-jaga kerana kebarangkalian mereka ini terkena penyakit jantung adalah tinggi.

Walaupun lelaki secara amnya dilaporkan lebih kerap terkena penyakit jantung berbanding wanita, penyelidikan ini mendapati bahawa jika mereka menghidap penyakit kencing manis, risiko untuk penyakit jantung hampir tiada bezanya.

Penyelidikan yang dilakukan ini yang pertama memberi fokus secara terperinci kepada perbezaan dari segi jantina dikalangan mereka yang masih muda ataupun pertengahan usia yang memang ada penyakit kencing manis. Lebih dari 10,000 orang telah terlibat dalam penyelidikan ini dan kesemua mereka tiada sejarah penyakit jantung dalam keluarga. Penyelidikan ini membuktikan bahawa walaupun tanpa genetik penyakit jantung, seseorang wanita itu juga berisiko untuk penyakit jantung sekiranya terkena penyakit kencing manis.

Penyakit jantung sudah diketahui merupakan pembunuh no. 1 dikalangan penduduk di Malaysia dan ramai yang masih tidak tahu bahawa lebih ramai wanita yang mati akibat penyakit ini sekarang. Jadi, jika anda seorang wanita dan anda atau orang yang anda sayangi diketahui ada penyakit kencing manis, segeralah bertindak. Lakukanlah perubahan pada cara hidup anda agar anda tidak termasuk dalam statistik kematian akibat penyakit merbahaya ini.

Antara saranan yang seringkali diberi dan saya rasa akan sangat membantu adalah dengan menjaga pemakanan - makan makanan seimbang, bersenam secara konsisten, kurangkan stress dalam kehidupan, dapatkan tidur yang secukupnya dan yang paling penting...tingkatkan amalan rohani dan banyakkan berdoa, berzikir dan melakukan ibadah. Kita hanya boleh merancang...namun segala yang akhirnya berlaku adalah ketentuan Allah semata-mata.

Semoga entri kali ini dapat membantu anda dalam misi untuk meningkatkan tahap kesihatan anda!

Lots of Love,
Arfah Umar


0 comments:

Post a Comment