Thursday 20 March 2014

Info ringkas tentang Vitamin C

Assalamualaikum semua. Harini saya tergerak untuk share sedikit info ringkas tentang Vitamin C yang saya rasa penting buat semua. Vitamin C atau juga dikenali sebagai Ascorbic Acid ialah nutrien larut air yang boleh didapati dalam makanan kita.



Vitamin C bertindak sebagai anti-oksidan didalam tubuh yang melindungi sel-sel tubuh dari radikal bebas. Radikal bebas ini berleluasa di sekeliling kita akibat dari pencemaran, asap rokok, air yang tercemar dan juga dari sinar ultra-violet matahari. Tapi, tahukah anda radikal bebas ini juga dihasilkan oleh tubuh kita apabila tubuh menukarkan makanan yang kita makan kepada tenaga yang digunakan seharian. Radikal bebas ini berbahaya kerana ianya akan menyababkan kerosakan diperingkat DNA kita. Kerosakan ini sekiranya berlaku secara berterusan dan berlanjutan mungkin menyebabkan penyakit kronik lain seperti canser.

Tubuh kita memerlukan Vitamin C untuk menghasilkan kolagen secara semulajadi. Kolagen ialah sejenis protin yang diperlukan untuk membantu mengekalkan dinding sel dan juga untuk menyembuhkan luka. Vitamin C juga membantu penyerapan zat besi tubuh dari makanan yang berunsurkan tumbuhan. Antara fungsi penting Vitamin C yang lain juga termasuk membantu sistem imunisasi tubuh berfugsi melindungi tubuh dari penyakit.

Jumlah Vitamin C yang diperlukan oleh tubuh berbeza mengikut jantina dan umur seseorang. Menurut National Institutes of Health, USA; secara amnya Kanak-kanak berumur 1 hingga 3 tahun memerlukan 15mg Vitamin C manakala kanak-kanak 9-13 tahun memerlukan 45mg. Seorang lelaki dewasa memerlukan 90mg manakala wanita dewasa memerlukan 75mg Vitamin C. Wanita yang mengandung pula memerlukan 85mg Vitamin c manakala wanita menyusu memerlukan 120mg Vitamin C.



Sumber Vitamin C wujud dalam pelbagai jenis makanan harian kita. Antara makanan yang mengandungi sumber Vitamin C termasuklah buah-buahan citrus seperti oren dan limau serta buah-buahan tempatan seperti jambu batu, betik, mangga, manggis dan juga nanas. Vitamin C juga boleh didapati dalam sayur-sayuran seperti bayam, brocolli, lada benggala (bell pepper), tomato dan cili.

Jika tubuh tidak mendapat bekalan Vitamin C yang secukupnya, kita terdedah kepada penyakit scurvy. Penyakit ini akan mengakibatkan tubuh terasa lemah, gusi yang membengkak, bintik-bintik merah di tubuh, sakit sendi dan luka yang lambat untuk sembuh. Scurvy juga boleh mengakibatkan berlakunya depression atau kemurungan dan anemia. Kekurangan Vitamin C yang berlanjutan sehingga berminggu-minggu mungkin boleh mengakibatkan kematian jika tidak dirawat.

Vitamin C sememangnya penting untuk tubuh kita. Pastikan anda mendapat jumlah Vitamin C secukupnya dalam diet seharian anda. Memakan makanan yang pelbagai akan membolehkan tubuh mendapatkan vitamin dan mineral yang diperlukan setiap hari.

Sekian saja dari Arfah. Semoga info ini berguna buat anda! Yang baik-baik itu datangnya daripada Allah dan segala cacat cela itu adalah daripada kesilapan saya sendiri.

Lots of Love,
Arfah Umar

0 comments:

Post a Comment